Apa Itu Dabbah | Alhamdulillah, masuk sudah Bulan Ramadan 2021. Pertama kali cik en berpuasa tanpa Abah kali ini. Tapi cik en tetap redha. Ajal, jodoh, maut dan rezeki semuanya rahsia Allah kan? Tapi Allah tak berahsia mengenai tanda tanda Hari Kiamat. Dabbah adalah salah satu haiwan yang akan muncul di akhir zaman dan merupakan tanda tanda besar hari kiamat. Dabbah juga dipanggil Jassasah bagi sebilangan manusia. Tapi haiwan apakah Dabbah ini? Bagaimana rupanya dan dari mana pula datangnya? Merbahayakah dia pada manusia dan katanya Dabbah ini akan melawat setiap manusia di bumi nanti. Jom cik en kongsikan mengenai Dabbah. Info ini adalah sahih yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti.
Apa Itu Dabbah
Al-Dabbah (الدابة) menurut bahasa adalah setiap yang berjalan di atas muka bumi. [Lihat: Mukhtar al-Sihah, 101/1] Manakala, menurut istilah pula, al-Dabbah adalah sejenis binatang yang akan keluar di akhir zaman (apabila manusia dalam keadaan yang jauh daripada agama) dan keluarnya al-Dabbah ini merupakan antara tanda-tanda besar hari Kiamat sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith yang banyak. [Lihat: Tafsir al-Sa’di, 610/1]
Hadith-Hadith Berkaitan Dabbah
Antara hadith-hadith berkaitan Dabbah adalah seperti berikut sebagaimana yang kami nyatakan pada Irsyad al-Hadith sebelum ini iaitu yang bertajuk Tanda-Tanda Besar Kiamat:
Daripada Huzaifah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ السَّاعَةَ لَا تَكُونُ حَتَّى تَكُونَ عَشْرُ آيَاتٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَالدُّخَانُ وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ، وَيَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قُعْرَةِ عَدَنٍ تَرْحَلُ النَّاسَ".
Maksudnya: ““Sesungguhnya al-Sa’ah (hari Kiamat) tidak akan berlaku sehingga berlaku sepuluh tanda ini iaitu gerhana bulan di Timur, gerhana bulan di Barat, gerhana bulan di jazirah Arab, Asap, Dajjal, Dabbah yang melata di bumi (sejenis haiwan),Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yang keluar dari lembah Aden yang akan mengiringi manusia ”. [Riwayat Muslim (2901)]
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، أَوِ الدُّخَانَ، أَوِ الدَّجَّالَ، أَوِ الدَّابَّةَ، أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ
Maksudnya: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari Barat, asap, Dajjal, al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (Kiamat)”. [Riwayat Muslim (2947)]
Berdasarkan hadith-hadith di atas, keluarnya Dabbah merupakan salah satu daripada tanda-tanda besar atau hampirnya hari Kiamat.
Pendapat Ulama’ Berkaitan Dabbah
Para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan maksud atau makna Dabbah ini, maka kami ringkaskannya dalam bentuk nokhtah:
- Imam al-Qurthubi menyatakan Dabbah adalah seekor anak unta daripada unta Nabi Soleh AS yang dimasukkan oleh Allah SWT ke dalam batu dan unta tersebut akan keluar pada bila-bila masa dengan izin Allah SWT.
- Dabbah yang dimaksudkan adalah Jassasah yang disebut atau diceritakan di dalam hadith Tamim al-Dari.
- Dabbah adalah ular yang menjaga dinding Ka’bah.
- Dabbah adalah manusia yang bercakap bagi menentang orang yang melakukan bid’ah dan kekufuran.
- Perkataan Dabbah adalah isim (kata nama) bagi setiap binatang yang melata dan ia bukanla haiwan tertentu yang memiliki berbagai keajaiban dan keanehan. Berkemungkinan yang dimaksud dengannya adalah bakteria yang berbahaya yang telah membuat manusia menderita dari sudut badan dan kesihatannya.
Untuk itu, kami nukilkan sebagai kesimpulan daripada pendapat-pendapat di atas daripada pengarang kitab Mausu’ah al-Akhirat bahawa Dabbah mempunyai ciri-ciri khas yang berbeza dari sudut kekuatan, keluasan, keilmuan dan juga kecantikan yang mana ia diutuskan oleh Allah SWT bagi tujuan tertentu untuk diselesaikan.
Tambahan pula, tidak sesiapa yang mampu untuk lari daripadanya atau daripada tujuannya dan jika seseorang itu ingin mencari atau menghendakinya nescaya dia tidak mampu untuk melakukan hal sedemikian. Ia juga akan datang kepada sekalian manusia di atas muka bumi ini seakan-akan nama-nama mereka (manusia) ada dengannya iaitu Dabbah.
[Lihat: Mausu’ah al-Akhirat Ashrath al-Sa’ah, 173, 174]
Tempat Keluar Dabbah
Para ulama’ juga berbeza dalam menentukan tempat keluarnya Dabbah ini:
- Dabbah akan keluar dari Makkah al-Mukarramah iaitu dari masjid yang paling mulia.
- Dabbah ini akan keluar melalui tiga tempat. Ia akan keluar di sebahagian lembah dan kemudiannya bersembunyi. Kemudian ia keluar lagi di sebahagian kampung, lalu ia muncul di Masjid al-Haram
- Terdapat beberapa lagi pendapat-pendapat lain yang menceritakan berkaitan tempat keluarnya al-Dabbah ini. Akan tetapi, sebahagian besar daripada pendapat-pendapat dalam masalah ini menyatakan bahawa tempat keluarnya al-Dabbah ini adalah dari tanah haram Makkah.
Tambahan daripada video yang cik en tengok, katanya ada 5 ciri ciri Dabbah
- Berkaki empat
- Boleh berkata kata
- Tidak berekor
- Saiznya sangat besar
- Haiwan bertanduk
Dabbah tidah berbahaya, tidak menyakiti atau apa apakan manusia. Tugasnya hanya labelkan manusia Kafir atau Mukmin sahaja.
Cik en berharap, kita kena bersedia dengan kehadiran haiwan Dabbah ini selain daripada Dajjal. Bagaimana rupanya, bila akan muncul dan dimana ianya keluar tetap tak pasti. Yang pasti dia akan datang pada umat manusia di penghujung zaman
Seram dan dahsyat akhir zaman hampir kiamat.. Tak tercapai dek akal... Nauzubillah...
ReplyDelete