Arab Saudi ampunkan 325 warga Indonesia
RIYADH 29 Jun - Kira-kira 325 banduan Indonesia termasuk pembantu rumah diberi pengampunan diraja oleh kerajaan Arab Saudi, kata seorang pegawai Indonesia di Riyadh semalam.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa siri rundingan antara Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dengan Duta Arab Saudi ke Indonesia, M. Amen Al-Khayyat di Jakarta.
"Senarai nama rakyat Indonesia yang diberi pengampunan itu telah dihantar kepada Indonesia oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Arab Saudi.
"Ia melibatkan banduan yang melakukan kesalahan ringan serta yang berkaitan serangan seksual," kata pegawai di Bahagian Perlindungan Warganegara Kedutaan Indonesia, Hendrar Pramutyo.
Katanya, Susilo juga telah merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama Arab Saudi itu.
Jelas Pramutyo, kebanyakan yang diberi pengampunan adalah banduan yang sedang menjalani hukuman di 13 penjara seluruh negara dengan sebahagian daripadanya telah dipenjara dua hingga lima tahun.
Katanya, 325 banduan itu dipilih daripada 1,719 pendatang Indonesia ke Arab Saudi termasuk yang bekerja sebagai pembantu rumah.
Ditanya tentang butiran pertemuan antara Susilo dengan Al-Khayyat semalam, Pramutyo berkata, beliau tidak tahu tentang perkara yang dibincangkan, namun beliau mengesahkan pertemuan di Istana Presiden itu.
Pertemuan tersebut dibuat berikutan kes hukuman pancung yang dikenakan Arab Saudi ke atas seorang amah Indonesia di negara itu, Ruyati binti Satubi kerana membunuh isteri majikannya.
Berikutan kes itu, Indonesia giat menyelamatkan rakyatnya yang dijatuhi hukuman sama di Arab Saudi dan berjaya menyelamatkan seorang lagi amahnya, Darsem binti Dawud dengan membayar 2 juta riyal (RM1.6 juta) wang pampasan kepada Arab Saudi. - Agensi
Tags:
info